Pengalaman melahirkan anak pertama

Teks : Aida Ilyani Ali

Assalamualaikum,

Kebanyakan isteri rata-ratanya pernah mengalami pengalaman bersalin. Namun, setiap pengalaman itu berbeza antara setiap individu. Setelah mengalami sendiri detik-detik untuk bersalin, kita akan rasa lebih menghargai ibu kita. Ramai yang bersetuju bahawa setiap anak yang dilahirkan berbeza tahap kesukaran proses melahirkan.


Pengalaman saya sendiri, melahirkan Aleesya lebih sukar daripada melahirkan Umar. Saya terpaksa menunggu lebih dari 24 jam untuk melahirkan anak pertama saya kerana tiada rasa sakit untuk bersalin walaupun air ketuban telah pecah. Saya melahirkan Aleesya pada pukul 9.15 malam. Berat dia ketika baru dilahirkan hanya 2.5 kg sahaja. Selepas melahirkan Aleesya, Aleesya dibawa ke wad lain bagi tujuan rawatan antibiotik.

Malam itu dan siang hari seterusnya saya tidak dapat bersama Aleesya. Saya juga terpaksa menjalani rawatan antibiotik untuk mengelakkan jangkitan kuman disebab air ketuban telah pecah lebih daripada 24 jam. Pada malam itu, perasaan ingin melihat anak membara. Suami dan saya mengambil keputusan untuk ke wad yang menempatkan anak kami. Kami ke sana dalam pukul 11 malam. Saya ke sana menggunakan kerusi roda yang dipinjam dari wad. Detik indah yang paling saya ingat ialah apabila kami terpaksa melalui beberapa wad lain untuk kesana dan suami sempat bermain sorong kerusi roda dengan saya.

Pada malam itu, keinginan untuk menyusukan anak saya membuak-buak. Perancangan untuk menyusukan anak secara eksklusif memang telah dibuat sebelum bersalin lagi. Saya cuba menyusukan anak saya di sana namun tidak berjaya. Betullah orang kata, kita akan belajar dari pengalaman. Buat permulaan bagi ibu baru, menyusukan anak merupakan perkara yang sukar dan merumitkan apabila susu tidak keluar atau sedikit. Pada waktu inilah saya mula belajar tentang kaedah membuat perahan dan teknik menyusukan yang paling berkesan dari jururawat di wad. Mereka memberikan kata-kata semangat dan menasihatkan saya agar tidak putus asa.

Alhamdulillah, akhirnya Allah telah mengizinkan saya menyusukan anak saya setelah bersusah-payah berulang beberapa kali ke wad anak dengan bantuan suami. Kami dibenarkan pulang setelah tiga hari berada di sana. Saya meneruskan misi penyusuan susu ibu kepada Aleesya sehingga beliau betul-betul bersedia untuk berhenti menyusu. Aleesya anak yang mudah dijaga, tidak meragam, jarang sekali demam, batuk dan selsema. Berat badannya meningkat dengan banyak walaupun hanya minum susu ibu.

Sahabat sekian, daripada mengalaman saya di atas, bolehlah disimpulkan bahawa anak yang menyusu ibu tidak mudah terkena penyakit, mempunyai antibodi yang kuat dan pintar, in sya Allah. Jom kita ramai-ramai menyokong penyusuan susu ibu.