Pengenalan Diri

Teks : Aida Ilyani Ali

Assalamualaikum, salam ukhwah untuk semua. 
Bismillahirrahmanirrahim pembuka bicara.

Keluarga memanggil saya dengan panggilan Aida. Nama sebenar saya Aida Ilyani Binti Ali. Nama ini ibu saudara saya yang lebih mesra dipanggil "Auntie" berikan. Mengikut cerita, nama ini adalah sempena nama kawan beliau di Sekolah Menengah Tun Fatimah, Johor Bahru. Saya merupakan  anak kedua daripada sembilan orang adik beradik. Saya mempunyai seorang kakak, empat orang adik perempuan dan empat orang adik lelaki. Mak dan abah bekerja di sektor kerajaan. Kami adik-beradik telah dijaga oleh nenek saudara yang kami panggil "Mak Tok". Mak Tok menjaga kami semua dengan penuh kasih sayang.

Saya mula mendapat pendidikan awal kanak-kanak pada umur lima tahun. Pada ketika itu perasaan ingin belajar didorong oleh kakak yang telah ke tadika. Tadika yang kami sertai ialah Tadika Iman. Saya mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Sri Skudai, Johor Bahru. Saya melanjutkan pelajaran peringkat menengah saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail dalam aliran agama seterusnya ke Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru dalam aliran pertanian. Selepas itu saya telah ditawarkan untuk mengikuti program matrikulasi di Matrikulasi Melaka. Alhamdulillah, saya diberi ruang untuk belajar ke menara gading dalam bidang Teknologi Tumbuhan di Universiti Malaysia Sabah. Saya seterusnya menyambung pelajaran saya secara separuh masa dalam kursus Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia. Saya berjaya menyelesaikan pembelajaran saya pada tahun 2013 yang lalu. Saya bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, in sya Allah dalam masa satu ke dua tahun lagi.

Alhamdulillah, rasa cinta yang Allah percikkan dalam hati saya sejak sekolah membawa saya dan suami ke jinjang pelamin pada 19 November 2008. In sya Allah, rasa cinta itu mekar hingga ke hari ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan kami merasa nikmat anak. Allah telah mengurniakan kami dua orang cahaya mata. Kakak, Aida Aleesya lahir pada 2 Mac 2011 dan diikuti oleh adik, Abdullah Umar lahir pada 15 Ogos 2012. Ya, Allah! Bantulah hambamu ini menjaga amanah Mu sebaik mungkin.

Pengalaman bekerja saya bermula apabila saya mendapat pekerjaan sebagai Pembantu Juruaudit Kontrak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor. Pada ketika itu, saya tidak memikirkan untuk menjawat jawatan yang setaraf dengan kelulusan saya kerana tidak mahu jauh dari mak. Selepas penstrukturan semula perjawatan di SUKJ, perkhidmatan saya tidak diperlukan lagi. Namun, saya tidak berputus asa. Emak suruh saya memohon jawatan guru ganti di Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru. Saya agak keberatan kerana pada waktu itu saya tidak yakin untuk menjadi guru. Namun, rezeki menyebelahi saya dan saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, sekolah lama saya. Semua guru di sini sangat profesional dan memberi kepercayaan kepada saya untuk mendidik pelajar walaupun saya hanya seorang guru ganti. Bermulalah satu episod perjalanan saya sebagai seorang guru.

Setelah kontrak saya tamat, saya diberi kepercayaan sekali lagi oleh pihak PPD JB untuk menyandang jawatan guru. Kali ini sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki Johor Bahru. Setelah setahun di sana memberikan perkhidmatan terbaik saya, saya terpaksa membuat keputusan yang sukar dalam hidup saya iaitu berhenti kerana mengikut suami yang berkhidmat di Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Perak. Oleh kerana belum dikurniakan anak, saya mencuba nasib memohon jawatan guru secara kontrak yang ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran ketika itu. Saya akhirnya berjaya dipanggil temuduga dan berjaya dalam temuduga tersebut. Saya telah ditempatkan di Sekolah Menengah Agama Tan Sri Ghazali Jawi, Gerik (SABK). Pada akhir tahun 2009 saya sekali lagi terpaksa menolak tawaran menyambung perkhidmatan sebagai guru di sana memandangkan suami telah dapat bertukar kembali ke Johor.

Rezeki Allah di mana-mana. Walaupun terpaksa menolak jawatan guru yang membolehkan saya diserap pada ketika itu, saya telah berjaya mendapat pekerjaan di Jabatan Pelajaran Negeri Johor sebagai Penolong Pegawai Tadbir Kontrak pada tahun 2010. Pada waktu ini kami masih lagi belum dikurniakan cahaya mata. Dalam pada menanti kehadiran permata hati, saya mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran saya ke peringkat yang lebih tinggi untuk mengubat kesedihan hati. Atas sebab minat dan sayang saya dalam dunia pendidikan, saya telah menyambung pelajaran saya dalam bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional di UTHM secara separuh masa. Usai saya mendaftarkan diri di UTHM, saya telah disahkan mengandung. Berita ini sangat menggembirakan saya kerana saya menunggu hampir tiga tahun untuk mendapat anak. Anak kedua lahir setahun selepas saya melahirkan anak pertama. Komitmen terhadap anak dan pelajaran menyebabkan saya tidak mencari pekerjaan lain selepas kontrak saya tamat.

Berada di rumah dikelilingi anak-anak memang seronok. Sayalah orang pertama yang melihat setiap kemajuan perkembangan mereka. Walaupun tidak menjadi pendidik secara formal, namun saya gunakan juga ilmu pendidikan yang dipelajari terhadap anak-anak saya. Anak pertama saya telah dapat menghafal surah Al-Fatihah, al-Ikhlas dan An-Nas seawal 2 tahun setengah. Suami pernah mencadangkan saya supaya saya mencari sesuatu aktiviti yang berkaitan pendidikan dan minat saya secara online untuk dilakukan pada waktu lapang agar ilmu yang ada tidak di sia-siakan. Namun, pada masa itu saya masih belum bersedia.

Anak-anak semakin membesar, Aleesya dan Umar telah menunjukkan minat mereka dalam pembelajaran. Oleh itu, saya rasa saya perlu membuat perubahan jadual harian saya sebagai suri rumah tangga. Saya perlu mempunyai jadual bekerja yang lebih teratur. Saya mula mencari-cari jadual ibu yang menjadi "home engineer" seperti saya di alam maya. Rupanya, perancangan Allah itu lebih baik lagi di mana saya di pertemukan dengan blog Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Hati saya merasakan bahawa ilmu dari guru-guru dan rakan-rakan dalam akademi inilah yang saya perlukan untuk menjayakan misi sebagai WAHM (work at home mom) yang berjaya. Inilah peluang saya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman di samping menjana pendapatan sampingan dari rumah tanpa perlu meninggalkan anak-anak.

Dalam pencarian saya, saya telah bertemu dan belajar secara bersemuka dengan Puan Anys Idayu Zakaria. Beliau telah menerangkan kepada saya dengan sangat jelas berkenaan akademi dan saya jadikan beliau mentor saya sehingga kini. Walaupun menulis dalam bentuk pengalaman di blog bukanlah kepakaran saya, namun beliau telah meyakinkan saya dengan perancangan yang teratur dan kaedah yang tersusun, saya mampu melakukannya. Sekarang, saya akan menjadikan ruangan di blog saya ini sebagai platform dalam membantu lebih ramai suri rumah khususnya dan para wanita berkerjaya yang lain dalam memulakan perniagaan untuk meningkatkan ilmu dan pendapatan mereka. Harapan saya semoga Allah mempermudah urusan ini dan usaha saya ini diredhai dan dirahmati oleh Nya. In sya Allah.

Akhir kalam, salam ukhwah dan salam kasih sayang.