Mak Tok

Teks : Aida Ilyani Ali


Apa pandangan anda terhadap nenek saudara anda? Istimewa? Tentu pandangan kita berbeza. Bagi saya "Mak Tok" iaitu salah seorang nenek saudara saya ini merupakan orang yang sangat istimewa di hati saya. Dialah yang bertanggungjawab menjaga saya dan adik-beradik saya yang lain sehingga dewasa. Walaupun tidak mempunyai anak sendiri, Mak Tok berjaya mendidik kami dengan baik. Saya nukilkan tulisan mengenai Mak Tok di sini supaya memori bersama beliau boleh dikongsikan dengan anak-anak saya pada masa akan datang.


Mak Tok seorang yang cerewet dan garang. Walau bagaimanapun dari beliaulah saya belajar banyak perkara. Yang paling saya ingat ialah apabila beliau mengajar saya memasak ketika umur saya 8 tahun. Antara masakan yang beliau ajar ialah sambal tumis tempe kentang, sambal tutok, sayur kobis masak lemak dan nasi goreng. Beliau juga ada mengajar saya membuat kuih tradisional seperti kuih lapis dan kuih nagasari. 

Mengimbau kenangan alam persekolahan, Mak Tok merupakan orang yang memainkan peranan penting di mana beliaulah yang mengatur semua persediaan persekolahan kami. Semasa tadika, Mak Tok akan mengambil saya dan kakak dari tadika. Mak Tok juga akan menyediakan bekal untuk saya ke sekolah agama. Mak Tok akan memastikan baju sekolah saya putih bersih. Beliau jugalah yang akan meleraikan kami adik-beradik apabila kami bergaduh. Mak Tok suka marah kami kalau apa yang kami buat itu salah di matanya, namun Mak Tok menjaga kami dengan penuh kasih sayang.

Mak Tok sebenarnya pernah berkahwin atas pilihan keluarga. Dia diceraikan oleh suaminya kerana anaknya meninggal tidak lama selepas melahirkan. Namun, semangat Mak Tok kuat. Beliaulah yang bertanggungjawab menjaga kedua orang tuanya sehingga meninggal dunia. Mak Tok selalu menceritakan pengalamannya semasa di kampung kepada kami adik-beradik. Pengalaman berharga itu pastinya kami jadikan ikhtibar dan panduan kami. 

Bila saya dan kakak sudah pandai mengaji, Mak Tok meminta kami mengajar beliau mengaji. Kredit pastinya lebih buat kakak yang dapat mengajar Mak Tok membaca Yassin. Agaknya sebab tu lah kakak dapat jadi cikgu sekarang. Kami pun sebenarnya tak tahu mengajar pada masa itu. Ye lah, apa yang kamu boleh harapkan dari budak umur 7 ke 9 tahun mengajar mengaji. Sebenarnya Mak Tok buta huruf. Kami dapati Mak Tok sebenarnya bukan membaca ayat yang ditunjuk tetapi beliau menghafal ayat tersebut. Hebatkan Mak Tok. Terang betul hatinya. 

Setiap tahun, Mak Tok akan pulang ke kampung halamannya di Batu Pahat. Biasanya pada musim cuti sekolah kami adik-beradik akan bergilir-gilir menemani Mak Tok di kampung. Pengalaman yang saya tidak akan lupakan ialah apabila saya berkesempatan belajar menoreh getah semasa di sana. Selain itu, saya juga dapat keliling kampung menaiki basikal besar. Yang paling mengujakan apabila balik kampung ialah mandi di parit. Boleh buat aksi terjun-terjun lagi. 

Sekarang, Mak Tok dah tak balik kampung. Biasalah, masalah kaki tak kuat dan kurang selesa di rumah kampung menyebabkan Mak Tok tak betah lagi di sana. Saya bercita-cita merealisasikan hasrat mak untuk membawa Mak Tok ke kampung lagi apabila kemudahan di rumah usang itu diperbaiki untuk keselesaannya. Semoga Allah memperkenankan hasrat saya ini. Amin...