Foto : Aida Ilyani Ali
Assalamualaikum sabahat semua, hari ini saya ingin berkongsi mengenai trip saya bersama anak-anak dan mak ke Bandaraya Johor Bahru menaiki bas percuma. Mak yang beriya-iya sangat nak membawa cucu-cucunya merasai pengalaman menaiki bas. Kami menaiki Bas Bandaraya yang tambangnya adalah percuma. Bas Bandaraya ini dikelola oleh pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru. Pada pagi hari tersebut, anak-anak saya bersemangat bangun awal dan bersiap kerana teruja untuk menaiki bas. Nenek mereka telah memaklumkan berkenaan trip ke bandaraya dengan menaiki bas pada hari sebelumnya. Hari itu atuk mereka menghantar kami ke Terminal Bas Larkin menaiki kereta baru Uncle Chad. Kakak cakap "Mama, jangan lupa bawa bekal, Aleesya nak makan bekal dalam bas". Ha, tergelak Mama dengar. Mentang-mentang la Papa bawa bekal setiap hari, dia pun nak bawa bekal.
Senyuman manis kakak dan adik di dalam kereta baru.
Setibanya di Terminal Bas Larkin, kami tercari-cari di mana Bas Bandaraya ini berada. Inilah akibatnya dah lama tak naik bas. Seingat saya kali terakhir menaiki bas di Bandaraya Johor Bahru ialah semasa berada di Tingkatan Lima sekitar tahun 2000. Biasanya kami adik-beradik akan dihantar abah kalau nak kemana-mana. Bapa penyayang la katakan. Bertanya juga lah kami dengan orang sekeliling mengenai Bas Bandaraya ni. Bas Bandaraya bewarna biru dan ada tampal perkataan PERCUMA dihadapan bas. Rupanya untuk menaiki bas kita hendaklah mendapatkan pas naik di Majilis Bandaraya Johor Bahru. Kami tak ada pas! Macamana ye? Kami nekad nak naik je.
Lebih kurang beginilah gambar basnya.
Sumber : Laman Sesawang MBJB
Bila dah nampak bas tersebut, kami berkejar naik. Takut kena tinggal bas (Macam la bas nak tinggal, ada lagi orang nak naik). Kami meklumkan kepada pemandu bas yang kami tiada pas. Dia kata "Tak pe dik, naik je...". Agaknya sebab masih dalam tempoh promosi kot. Gembira dapat naik bas. Kakak kelihatan takut semasa dalam bas. Adik gembira je. Kecil lagi. Tak tahu apa-apa. Nenek pun semangat la ambil gambar kami.
Mama tunjuk adik loceng dalam bas. Kakak duduk diam saje, takut jatuh.
Bermulalah perjalanan kami ke Bandaraya Johor Bahru dengan menaiki bas. Luas betul pandangan sebab cermin tingkap bas rendah. Macam tengok wayang je (ayat orang jakun naik bas). Misi kami adalah untuk ke UTC di Kotaraya. Bas tak lalu di situ. Kami mengambil keputusan untuk turun di hadapan Plaza Seni. Turun bas lalu Plaza Seni untuk ke UTC Kotaraya. Lalu disini bermaksud masuk dalam Plaza Seni dan melalui kedai-kedai di dalamnya ye bukan lalu depan Plaza Seni tau. Nanti jenuh pula nak jalan. Akhirnya sampai juga di UTC. Sampai-sampai je anak-anak nak makan dan minum. Apa lagi, keluarkan bekal yang di bawa. Makan di Medan Selera Kotaraya.
Kakak dan adik sedang menikmati mi hun goreng mama.
Kepada yang sudah biasa atau saja-saja nak naik bas, bolehlah cuba perkhidmatan bas percuma ini. Memang berbaloi terutama untuk beri pengalaman kepada anak anda naik kenderaan awam. Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan Bas Bandaraya bolehlah ke laman sesawang Majlis Bandaraya Johor Bahru.