Semua pasangan yang telah mendirikan rumahtangga pasti ingin diberikan nikmat mendapat cahaya mata yang sempurna dan sihat. Selain itu,ibu bapa pastilah ingin anak mereka menjadi insan yang baik, menyayangi mereka, bijak, menurut kata, mendapat pekerjaan yang baik dan menjadi anak yang soleh dan solehah. Kita hanya berharap tetapi Allah yang menentukan segala-galanya. Ada yang Allah bagi peluang untuk mendapat anak yang sempurna, ada juga Allah bagi anak yang lebih istimewa.
Namun, ada juga pasangan yang tidak dikurniakan anak walaupun telah lama berumah tangga. Tentunya terdetik perasaan sedih di hati kita jika tidak dikurniakan anak. Saya pernah merasai perasaan itu. Akhirnya Allah kurniakan juga kami zuriat setelah hampir tiga tahun menanti kehadiran mereka. Alhamdulillah anak-anak kami sihat dan sempurna. Kami dalam proses membentuk mereka menjadi insan yang sempurna juga di mata yang Maha Esa.
Pada catatan kali ini, saya ingin mengajukan persoalan tentang siapakah pemilik sebenar anak-anak ini? Kita sebagai ibu bapa mereka atau adakah mereka milik pasangan mereka nanti? Perasaan ingin memiliki memang akan menjadi isu apabila anak-anak telah mempunyai kehidupan mereka sendiri. Saya juga sudah terfikir akan hal ini walaupun anak-anak masih kecil. Bila difikirkan secara mendalam, anak bukanlah milik kita. Anak adalah pinjaman yang diberikan kepada kita oleh Allah sebagai amanahNya.
Kita harus sentiasa beringat bahawa kita sedang menjaga amanah Allah. Itu merupakan satu tugas yang sangat besar. Oleh yang demikian, kepada pasangan yang tidak memiliki anak anda terlepas daripada tugasan ini. Kami yang memiliki zuriat ini sebenarnya sedang diuji juga. Adakah kami mampu membesarkan anak-anak ini dengan sempurna mengikut acuan Islam? Belum tentu. Oleh itu, sama-sama kita berusaha untuk sempurnakan tugasan menjaga amanah Allah ini. Usahlah kita berlumba-lumba menjadikan mereka yang terbaik di dunia sahaja, jadikanlah mereka yang terbaik di akhirat juga.
Nota : Catatan untuk ingatkan diri sendiri juga.